Maklumat Sekolah

                        Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 8(1) yang dahulu dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya 1 berasal daripada salah satu Aplikasi Perdana Koridor Raya Multimedia. Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (1) adalah Sekolah Bestari ( Smart School ) yang merupakan salah satu daripada tujuh Aplikasi Perdana Koridor Raya Multimedia, selain daripada tele-medicine, kerajaan elektronik, kluster penyelidikan dan perkembangan (R&D), kad pelbagai guna pertama di dunia, pusat prasarana tanpa sempadan dan ’world wide manufacturing web’. Konsep Sekolah Bestari ( Smart School) telah menyebabkan lahirnya SMK Putrajaya Presint 8 (1) di lanskap Koridor Raya Multimedia ( MSC ) .Konsep Sekolah Bestari atau Smart School telah menyebabkan munculnya SMK Putrajaya 1 di landskap Koridor Raya Multimedia.

Pembinaan bangunan telah bermula pada tahun 1998 dan siap untuk beroperasi pada 17 Januari 2000 dengan 12 orang guru. Seramai 30 orang pelajar melapor diri pada 14 Januari tahun 2000. Pada akhir tahun 2000, terdapat seramai 350 pelajar daripada tingkatan 1 hingga tingkatan 5.

Pelbagai kemudahan disediakan di sekolah SMK Putrajaya Presint 8(1) seperti pusat sumber sekolah,  4 buah makmal komputer, 1 makmal bahasa, 1 bilik auditorium, 6 makmal sains dan 1 bilik gimnasium. Sekolah mempunyai sebanyak 40 buah bilik darjah bagi menampung bilangan pelajar yang ramai.

Sekolah ini telah membuka kelas tingkatan 6 mulai tahun 2003 dan kumpulan pelajar pertama telah menduduki peperiksaan STPM pada tahun 2004. Sekolah ini adalah satu-satunya sekolah yang menawarkan kelas tingkatan 6 di Putrajaya yang terdiri daripada aliran sastera sahaja.

Nama sekolah ini telah ditukar daripada SMK Putrajaya 1 Presint 8 kepada SMK Putrajaya Presint 8 (1) secara rasminya  pada 9 Oktober 2007. Secara pentadbiran, sekolah ini terletak di bawah pengurusan  Pejabat Pelajaran Daerah Sepang, Selangor dari tahun 2000 hingga 2006 dan mulai Januari 2007 sekolah ini ditukarkan di bawah pentadbiran Pejabat Pelajaran Wilayah Persekutuan Putrajaya (PPWPP).

Kini, setelah beroperasi selama 12 tahun, SMK Putrajaya Presint 8(1) terus mengorak langkah dengan penuh bergaya untuk menjadi sebuah Sekolah Bestari contoh dengan menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan canggih yang menempatkan 983 orang pelajar dan 98 orang guru terlatih dari pelbagai latar belakang akademik dan 17 orang kakitangan sokongan.

Mulai Mac 2012, SMK Putrajaya Presint 8(1) diterajui oleh Pn. Hajah Roaini binti Jaafar.  Harapan warga sekolah agar SMK Putrajaya Presint 8(1) akan terus mencapai kecemerlangan dan kegenmilangan.